Saturday 7 May 2011

PENDAHULUAN

Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan merupakan mata pelajaran yang
memainkan peranan penting dalam kurikulum kebangsaan sekolah rendah bagi
melahirkan murid yang dapat menunjukkan perasaan bangga dan cinta akan
negara. Mata pelajaran ini memberi tumpuan kepada perkembangan diri
hubungan dengan orang lain dan interaksi dengan persekitaran. Mata pelajaran
ini juga adalah wahana bagi mewujudkan semangat perpaduan dan apresiasi
pelbagai budaya masyarakat negara ini. Kandungan mata pelajaran ini
membolehkan murid memperoleh pengetahuan, kemahiran dan nilai sivik bagi
menghadapi cabaran masa depan.
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan menekankan empat prinsip
pendidikan yang penting iaitu belajar untuk mengetahui (learning to know)
belajar untuk bertindak (learning to do), belajar untuk hidup bersama (learning to
live together) dan belajar untuk membentuk peribadi (learning to be). Belajar
untuk mengetahui membolehkan murid menguasai ilmu bagi membina perasaan
dan tingkah laku sivik. Belajar untuk bertindak merujuk kepada aplikasi
pengetahuan dan kemahiran dalam kehidupan harian murid yang dikembangkan
menerusi aktiviti di dalam dan di luar bilik darjah. Belajar untuk membentuk
peribadi membolehkan murid berkembang secara menyeluruh dari segi rohani
intelek, fizikal, emosi dan sosial. Prinsip belajar untuk hidup bersama merupakan
asas dalam mewujudkan keamanan dan keharmonian dalam masyarakat
berbilang kaum di Malaysia. Melalui prinsip ini, perpaduan dalam keluarga
komuniti dan masyarakat pelbagai kaum dapat dipupuk.
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan ialah mata pelajaran teras untuk
semua murid sekolah rendah Tahap II. Selaras dengan ini, pihak sekolah
bertanggungjawab membina sahsiah dan potensi murid dengan pengetahuan
kemahiran dan nilai yang perlu bagi murid untuk melaksanakan hak dan
tanggungjawab sivik. Murid juga perlu dipupuk dengan pemikiran kritis dan
kreatif serta kesedaran sivik untuk melahirkan individu yang dapat memainkan
peranan yang berkesan dalam keluarga dan masyarakat.

MATLAMAT
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan bertujuan memberi kesedaran
kepada murid tentang peranan, hak dan tanggungjawab mereka dalam
masyarakat dan negara untuk melahirkan anggota masyarakat dan warganegara
yang bersatu padu, patriotik dan boleh menyumbang ke arah kesejahteraan
masyarakat, negara dan dunia.